TUGASAN : STRATEGI KE ARAH NEGARA MAJU
Pembentangan bajet setiap tahun adalah pembentangan yang amat
dinantikan oleh ramai penganalisis ekonomi kerana ia akan menetapkan rentak dan
nada aktiviti ekonomi negara sejajar dengan visi nasional untuk menggapai
negara maju yang berpendapatan tinggi, berpaksikan kepada prinsip keterangkuman
dan kemapanan sejajar dengan roh Model Ekonomi Baru.
Untuk menjayakan Bajet 2011 yang bertemakan Transformasi Ke Arah
Negara Maju Berpendapatan Tinggi, pihak kerajaan telah menggariskan empat
strategi, iaitu merancak pelaburan swasta; mempergiat pembangunan modal insan;
menambah baik kualiti hidup; dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
Untuk mencapai kadar pertumbuhan enam peratus pada tahun 2011,
pelaburan sektor swasta perlu ditingkatkan semula daripada tahap 10 peratus
daripada KDNK yang dialami dalam tempoh sedekad yang lalu. Namun begitu,
pelaburan FDI tidak akan mula mengalir ke bumi Malaysia sekiranya kita masih
miskin dari segi modal insan mahir, tahap kreativiti dan produktiviti yang
rendah serta lemah dalam menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Bagi tahun 2011, pihak kerajaan mensasarkan pelaburan swasta akan
berkembang pada kadar 12.5 peratus kepada RM86 bilion. Sebahagian besar
daripada jumlah tersebut membabitkan pembangunan hartanah kerajaan di sekitar
Lembah Kelang dan pelaksanaan MRT untuk Greater KL sebagai penjana utama
aktiviti ekonomi negara. Projek pembangunan hartanah seperti KLIFD [Kuala
Lumpur International Financial District]; pembangunan tanah milik Lembaga Getah
Malaysia di Sungai Buloh dan projek bersepadu Warisan Merdeka mampu menarik
pelaburan swasta dari dalam dan luar negara. Limpahan nikmat ekonomi yang dapat
dicapai melalui pembangunan hartanah yang dilaksanakan seiring dengan
penambahbaikan sistem pengangkutan awam sudah tentu berkali ganda.
Projek projek hartanah dan MRT tidak mungkin dapat dibiayai semata
mata dengan tabungan dalam negara. Oleh itu, adalah dijangka lebih banyak
syarikat luar negara yang akan memainkan peranan penting dalam beberapa projek
pembangunan strategik berimpak tinggi. Sebagai contoh, projek MRT mungkin
memerlukan pembiayaan melalui bon yang memberikan peluang syarikat pelaburan
luar negara untuk menumpang mengecapi pulangan modal yang lumayan kalau
dibandingkan dengan tahap keuntungan modal di negara asal.
Jangkaan tentu ada suara nakal yang mempersoalkan strategi
kerajaan untuk mencipta pembangunan ekonomi melalui pembangunan hartanah
kerajaan. Namun kita perlu sedar bahawa pembangunan hartanah memberikan
limpahan nilai ekonomi yang berlipat ganda kerana banyak sektor hiliran yang
akan turut terlibat dalam rantaian nilai pembangunan hartanah. Industri
pelombongan agregat, simen, pasir, serta berbagai barangan dan perkhidmatan
yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pembangunan hartanah
akan turut berkembang.
Sememangnya pembangunan hartanah kerajaan sudah lama dibincangkan
untuk dilaksanakan. Perbezaaan-nya kali ini adalah corak pelaksanaan, di mana
pihak swasta diberikan peranan yang lebih meluas untuk membangunkan projek
hartanah kerajaan.
Tumpuan turut diberikan kepada usaha merancakkan pasaran modal
domestik dengan memperkenalkan beberapa langkah baru yang sudah sampai masanya
untuk dilaksanakan. Sebagai contoh, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerahan [GLIC]
disarankan untuk mengurangkan pegangan saham dalam syarikat tersenarai di Bursa
Malaysia dan sebaliknya menggunakan modal yang ada untuk meningkatkan pelaburan
di luar negara. Beberapa syarikat GLIC seperti PNB dan KWSP sudah mula mengorak
langkah menubuhkan syarikat pelaburan di luar negara untuk tujuan tersebut.
Namun kini, pihak kerajaan mahu peningkatan berganda dari segi pelaburan aset
di luar negara.
Pengurangan pegangan saham di dalam syarikat tersenarai di Bursa
Malaysia sememangnya dialu-alukan oleh banyak pihak, namun usaha mendapatkan
pulangan yang setimpal atau lebih baik di luar negara mengundang risiko yang
perlu diteliti oleh pihak GLIC. Apabila membuat pelaburan di luar negara
beberapa faktor risiko khusus [contoh: risiko mata wang, risiko repatriation of
funds, risiko kadar faedah] perlu diberi perhatian untuk memastikan pulangan
atas modal yang dilaburkan adalah setimpal.
Penyenaraian Petronas Chemical Sdn Bhd dan Malaysia Marine and
Heavy Engineering Holdings Sdn Bhd bakal menceriakan aktiviti pasaran di Bursa
Malaysia. Memandangkan kebelakangan ini sudah banyak syarikat yang tersenarai
di Bursa Malaysia yang telah diswastakan, amatlah sesuai bagi kerajaan
mengapongkan beberapa syarikat milik kerajaan di pasaran saham untuk
mempelbagaikan saham pilihan yang secara langsung akan mengundang pelaburan
yang lebih inklusif dari dana tempatan mahu pun luar negara.