Perlembagaan

PERLEMBAGAAN DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK

Perlembagaan merupakan penentu kepada rangka dan bentuk pemerintahan serta kuasa yang diamanahkan kepada mereka yang menerajui tampuk pemerintahan dan terbukti perlembagaann mampu menjamin satu pentadbiran yang cekap, jujur dan adil serta menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum.

Perlembagaan memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum. Bagi menjamin keadilan antara kaum, kebebasan sosial dihadkan. Seseorang itu diberi kebebasan bercakap tetapi kebebasan ini dihadkan kerana seseorang itu tidak dibenarkan bercakap mengenai isu sensitif seperti sebagai contoh keistimewaan hak orang Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap kaum lain serta akan mengakibatkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum yang bakal mengancam keselamatan negara.

Perlembagaan menentukan supaya semua warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum adalah sama rata di sisi undang-undang, bebas menganut dan mengamal agama masing-masing. Selain itu, terdapat juga peruntukan mengenai hak pelajaran yang menegaskan bahawa tidak ada perbezaan terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir untuk kemasukan dan bayaran yuran ke institusi pendidikan yang diselenggarakan oleb kerajaan.

Pemilihan pelajar ke institusi pengajian tinggi telah merima sistem meritokrasi yang menolak pelaksanaan sistem koata yang dilaksanakan sebelum itu. Sistem meritokrasi melaksanakan pemilihan pelajar berdasarkan prestasi akademik tanpa mengira golongan etnik. Ini menunjukkan bahawa kerajaan begitu menitik beratkan soal keamanan, kemakmuran dan hak sama rata di kalangan rakyat.

Untuk menjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, sesebuah negara perlu wujudkan perpaduan nasional maka barulah terjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, dan seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara bangsa yang bersatu, demokratik, dan adil tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Sebagai kesimpulan, sistem Perlembagaan merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum demi memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran sesuatu negara.